Tuesday, September 15, 2009

PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI OLEH PRESIDEN PERUNDANG 2009/2010


Assalamualaikum dan Salam Ramadhan,

Ketika saya menulis ucapan ini, kita sedang menyambut Ramadhan yang ke 24. Alhamdulilah, Allah telah panjangkan usia kita bagi bersama-sama menyambut bulan Ramadhan ini. Saya mengharapakan agar kita dapat memperbanyakkan Ibadah dalam baki-baki yang terakhir di bulan Ramadhan ini. Jangan asyik sangat dengan persediaan bagi mengahadapi Syawal yang bakal menjelang, tetapi perbanyakkan ibadah kerana banyak manfaatnya. Tingkatkan ilmu agama, tingkatkan ibadah dengan zikir dan selawat dan selalu berdoa untuk mengharapkan keredhaan dari-Nya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui.

Di kesempatan ini juga, saya ingin menasihatkan kepada mereka yang akan balik ke kampung dengan kenderaan masing-masing, supaya berhati-hati di jalan raya. Amalkan panduan keselamatan jalan raya seperti yang diperuntukkan undang-undang. Elakkan memandu melebihi had laju, ikut kiri jika tidak memotong, jangan ikut terlalu dekat dari belakang, gunakan lampu isyarat dengan sebaik mungkin dan pakailah tali pinggang keselamatan samada pemandu atau penumpang. Selain itu, jangan memandu ketika letih dan penat. Berehatlah sebentar untuk mendapat balik kesegaran kerana saya pasti keluarga anda akan menati kepulangan anda dengan penuh kesabaran.

Di samping itu juga, saya ingin mengingatkan kawan-kawan supaya menjaga pemakanan di waktu raya ini. Seperti mana yang kita ketahui, Hari Raya penuh dengan bermacam-macam juadah enak seperti ketupat dan rendang, tetapi makanlah sekadar perlu dan jangan makan mengikut nafsu kerana bak kata pepatah ‘mencegah itu lebih baik dari mengubati’.

Tambahan pula, saya juga ingin mengingatkan rakan-rakan supaya jangan bermain mercun kerana mercun merupakan bahan yang berbahaya. Nasihat ini juga ditujukan kepada sanak saudara anda di kampung.

Akhir kalam, kami di barisan Perundang ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir dan batin. Semoga Hari Raya Aidilfitri ini dapat disambut dengan meriah tetapi bersederhana. Semoga berjumpa lagi.

Sekian terima kasih.

Salam Syawal.

PRESIDEN PERUNDANG

2009/2010

"AMANAH PEGANGAN KAMI"